Friday 24 August 2012

KISAH SEBIJI TEMBIKAI

Dikisahkan pada suatu hari, seorang ahli Sufi yang masyhur bernama Syaqiq al-Balkh rahimahullah telah membeli sebiji tembikai. Dia kemudian membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, maka merungutlah isteri Syaqiq dengan nada marah bila melihat keadaan isi buah tembikai yang buruk dan tidak elok.

Maka bertanyalah Syaqiq kepada isterinya, "Kepada siapakah engkau tujukan marahmu itu? Adakah kepada penjual, pembeli, penanam, atau Pencipta buah tembikai itu?" Terdiam isterinya mendengar pertanyaan tersebut.

Kemudian Syaqiq meneruskan kata-katanya, "Adapun si penjual sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga mahu membeli barang yang terbaik. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil yang terbaik dari tanamannya itu. Maka ternyatalah marahmu itu ditujukan kepada Pencipta buah tembikai ini. Maka bertakwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuanNya." 







Mendengar kata-kata itu, maka menangislah isteri Syaqiq lalu ia bertaubat dan redha dengan apa yang Allah tentukan baginya.


CetakTampal dari The Red Warriors Network

No comments:

Post a Comment